Tuesday 15 April 2014

Teori-Teori Pembangunan Sahsiah - Ringkasan



Pendekatan Psikodinamik : Teori Psikoanalitik
Menurut teori ini, struktur utama personliti manusia ialah id, ego dan superego. Struktur personaliti id ialah yang didorong oleh tenaga untuk hidup serta berperinsipkan kenikmatan. Bagi struktur personaliti ego pula adalah diri yang sedar dan berperinsipkan realiti manakala superego adalah komponen sosial yang berperinsipkan moral. Secara ringkasnya, id merujuk kepada nafsu, ego merujuk kepada akal dan superego merujuk kepada nilai-nilai murni yang dianuti oleh individu. Kesemua struktur personaliti ini berkait antara satu sama lain dalam membentuk tingkah laku individu dan menurut Freud, kunci keperibadian yang sihat adalah keseimbangan antara id, ego, dan superego.

Pendekatan Pembelajaran : Teori Tingkah Laku
Selain itu, pendekatan sahsiah melalui teori tingkah laku pula dapat difahami melalui prinsip-prinsip dalam perlaziman klasik dan perlaziman  operan seperti generalisasi, diskriminasi, penghapusan, peneguhan positif, peneguhan negatif, hukuman positif, hukuman negatif dan galakan. Sebagai contoh, isu sahsiah guru yang sering lewat masuk ke kelas. Pelaziman klasik bagi guru tersebut ialah sering masuk lewat ke kelas dan mungkin berpunca daripada sikap guru tersebut sejak dari zaman persekolahannya lagi. Pelaziman klasik ialah tindak balas individu terhadap pesekitarannya. Seterusnya generalisasi guru tersebut terhadap kelewatannya adalah kerana beliau melihat guru-guru lain juga sering lewat masuk ke kelas, justeru beliau menganggap kelewatan itu satu kebiasaan di sekolah. Generalisasi ialah tingkah laku yang mendapat peneguhan dalam situasi lain yang lebih kurang sama. Diskriminasi pula ialah tingkah laku yang berbeza mengikut ransangan di mana guru tersebut memilih untuk masuk awal ke kelas-kelas tertentu contohnya kelas pelajar yang lebih pandai berbanding kelas-kelas lain yang diajar olehnya. Sikap guru tersebut ditegur oleh pengetua secara personal kerana aduan dari pelajar. Disini kita dapat lihat, penghapusan iaitu tingkah laku tersebut perlu dihentikan kerana tidak lagi menghasilkan konsekuen peneguhan. Apabila guru tersebut ditegur, beliau mula masuk awal ke kelas dan sebagai peneguhan positif, para pelajar berasa gembira dan lebih bersemangat untuk belajar. Bagi peneguhan negatif pula, ketua kelas menjemput guru tersebut untuk masuk ke kelas sekiranya guru tersebut lewat. Hal ini menyebabkan guru tersebut berasa tidak selesa. Peneguhan positif ialah pemberian ganjaran apabila melakukan sesuatu manakala peneguhan negatif pula ialah ransangan aversif dikeluarkan untuk mengubah tingkah laku individu. Hukuman positif ialah tingkah laku yang ditunjukkan diberi rangsangan aversif untuk dihentikan  misalnya guru tersebut ditegur oleh pengetua di dalam mesyuarat dihadapan guru-guru lain menyebabkan beliau berasa malu dan hukuman negatif pula ialah bersifat peneguhan untuk menghentikan tingkah laku tersebut misalnya pelajar tidak memberikan tumpuan semasa proses pembelajaran kerana guru yang sering lewat masuk ke kelas. Sebagai galakan, pengetua kerap membuat rondaan dan turut serta dalam proses pembelajaran secara rawak. Oleh itu, melalui prinsip-prinsip dalam teori tingkah laku dalam pembangunan sahsiah, personaliti individu dapat difahami.

Pendekatan Kognitif : Teori Pilihan Dan Terapi Realiti
Melalui teori ini, seseorang itu bermasalah apabila keinginan mereka tidak dapat dipenuhi. Setiap keinginan individu dipengaruhi oleh keperluan psikologi dan fisiologi iaitu rasa ingin disayangi dan menyayangi, penghargaan, kebebasan kegembiraan dan kelangsungan hidup. Menurut Ahmad Jazimin (2008), keseluruhan tingkah laku seseorang itu akan menyumbang kepada identiti dirinya sama ada identiti berjaya atau identiti gagal. Menurutnya lagi, personality gagal terbentuk apabila seseorang itu gagal memenuhi kehendaknya dengan cara yang bertanggungjawab. Seseorang yang mempunyai personaliti yang gagal biasanya kecewa dengan kehidupan dan sentiasa menafikan kegagalan yang mereka hadapi. Mereka akan memilih simptom negatif dan akhirnya mengalami tingkah laku yang tidak efektif. Seterusnya mereka akan melarikan diri daripada tanggungjawab setelah emosi dan pemikirannya terganggu.
Tegas Glasser (1998) dan Ahmad Jazimin (2011), berdasarkan teori pilihan manusia bertingkah laku berdasarkan faktor-faktor berikut iaitu yang pertama, kehendak kualiti (Quality World) dimana setiap individu mempunyai kehendak yang ingin dicapai atau diinginkan bedasarkan pengalamannya dengan orang lain, kepercayaan atau situasi yang dialami. Yang kedua,  keperluan asas atau basic needs pula ialah manusia mempunyai empat jenis keperluan psikologi iaitu menyayangi dan ingin dimiliki, inginkan penghargaan, kegembiraan dan kebebasan manakala satu keperluan fisiologi iaitu ingin terus hidup di dunia ini. Yang ketiga, tingkah laku keseluruhan (Total Behavior) iaitu kesemua perlakuan, pemikiran, perasaan dan fisiologi manusia adalah Total Behaviour dimana seseorang itu boleh mengawal perbuatannya tetapi tidak perasaannya. Yang keempat, identiti berjaya dan identiti gagal. Identiti berjaya ialah apabila seseorang mengalami rasa cinta dan rasa dihargai serta keperluan psikologikalnya dipenuhi manakala identiti gagal pula apabila seseorang itu tidak ada rasa dicintai, personaliti yang tidak seimbang, kurang keyakinan diri dan cepat berputus asa. Yang kelima, tanggungjawab individu dalam memilih keputusannya. Dan yang terakhir, perlakuan tidak efektif dan efektif. Contoh perlakuan efektif ialah sentiasa menyokong orang lain, mendapat galakan, memiliki kemahiran mendengar yang tinggi dan mudah menrima orang lain manakala contoh perlakuan yang tidak efektif ialah selalu mengkritik, selalu menuduh orang lain tanpa bukti yang kukuh, sentiasa tidak berpuas hati, rasa terancam dan terlalu mengawal orang lain. Berdasarkan teori ini, manusia mempunyai hak untuk bertingkah laku seperti yang dinginkan sama ada tingkah laku tersebut menyumbang kepada identiti berjaya atau identiti gagal.

Pendekatan Humanistic :  Teori Pemusatan Insan
Melalui teori ini, ianya terbahagi kepada tiga konsep utama iaitu fenomenologi, organisma dan kendiri. Konsep yang pertama ialah fenomenologi. Fenomenologi ialah keseluruhan pengalaman yang dirasai dan dipersepsikan oleh seseorang. Roger begitu prihatin terhadap bidang fenomenologi kerana ia merupakan rangka rujuk frame of reference bagi seseorang individu. Menurutnya lagi, bidang fenomenologi ini hanya dapat diketahui sepenuhnya oleh individu itu sendiri dan tidak dapat diketahui oleh orang lain kecuali melalui empathy inference tetapi ianya tidak akan pernah diketahui oleh individu lain secara keseluruhannya. Bidang fenomenologi terdiri daripada  pengalaman-pengalaman yang dilambangkan dan tidak dilambangkan. Pengalaman yang dilambangkan ialah pengalaman yang boleh disedari oleh individu manakala pengalaman yang tidak boleh dilambangkan ialah pengalaman yang tidak disedari oleh individu tersebut. Kebanyakkan pengalaman sedar dan tidak sedar ini dapat dijadikan sedar apabila perlu. Walaubagaimanapun, individu masih dapat membezakan kedua-dua jenis pengalaman tersebut dan beraksi terhadap pengalaman yang tidak dilambangkan. Menurut Rogers, persepsi individu yang subjektif amat penting dalam menentukan realiti dimana peristiwa yang berlaku tidak begitu mempengaruhi individu sebaliknya persepsinya terhadap peristiwa itu yang memberi kesan kepada dirinya. Hal ini membawa maksud, setiap peristiwa yang dilihat oleh manusia memberi pesepsi yang berbeza mengikut individu. Konsep yang kedua ialah organisma. Organisma merupakan seorang individu secara keseluruhan yang bertindak sebagai satu entiti yang menyeluruh bagi memenuhi keperluan-keperluan tertentu. Setiap organisma mempunyai satu motif untuk mencapai kesempurnaan kendiri dan membaiki dirinya. Organisma juga boleh melambangkan pengalaman-pengalamannya yang tertentu atau menyangkal dengan tidak melambangkannya malah mengabaikannya sama sekali. Konsep yang ketiga ialah kendiri. Kendiri merujuk kepada sebahagian dari latar fenomena yang perlahan-lahan menjadi terpisah. Ia adalah satu konsep keseluruhan persepsi yang tersusun dan konsisten yang mewakili ciri-ciri aku dan persepsi terhadap perhubungan di antara aku dengan orang lain dan pelbagai lagi aspek kehidupan, bersama-sama nilai yang tersemat dengan persepsi. Ia merupakan satu keseluruhan yang terdapat kesedaran atau satu Gestalt yang berubah-ubah tetapi khusus dalam jangka masa tertentu. Konsep kendiri yang berkaitan ialah kendiri idaman (ideal self) atau kendiri unggul ini merupakan konsep kendiri yang diingini oleh seseorang dimana ianya melibatkan persepsi serta makna yang mempunyai perkaitan dengan kendiri yang dihargai individu , orang yang signifikan dan masyarakat. Konklusinya, setiap organisma mempunyai fenomena yang tersendiri. Secara ringkasnya organisma dan fenomena membentuk kendiri individu. Rangka rujukan individu akan sentiasa berkembang sejajar dengan pembesaran individu malah individu yang sentiasa memperkasakan rangka rujukan mereka ke arah kesempurnaan kendiri (self-actualization).

Pendekatan Tret : Teori Personaliti Lima Utama
Melalui teori ini, ianya terbahagi kepada lima sifat ciri-ciri personaliti asas. Lima sifat tersebut ialah Keterbukaan, Kehematan, Ekstraversi, Kesetujuan dan Neurotisme atau diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai Openness, Conscientiousness, Extravertion, Agreeableness dan Neuroticicism yang terkenal dengan akronimnya sebagai OCEAN. Setiap sifat atau dimensi ini membawa maksud dan ciri-cirinya yang tersendiri. Ciri-ciri utama dimensi ini terbahagi kepada dua iaitu ciri tahap tinggi iaitu dan ciri tahap rendah. Dimensi Keterbukaan merujuk kepada tahap kesediaan seseorang untuk menerima pengalaman baru. Dimensi Kehematan pula merujuk kepada tahap keteraturan, ketekunan dan motivasi untuk mencapai sesuatu matlamat. Seterusnya, dimensi Ekstraversi menghuraikan tahap keselesaan seseorang dengan hubungan sosial manakala dimensi Kesetujuan pula merupakan tahap kecenderungan seseorang untuk akur dengan kehendak orang lain. Dan dimensi yang terakhir ialah dimensi Neurotisme atau lawannya kestabilan emosi menjelaskan tahap ketahanan seseorang dalam menangani tekanan (Costa & McCree 1992).

No comments: