Sunday 6 April 2014

Sahsiah Positif

Assalamualaikum

Sejak akhir-akhir ini, terdapat pelbagai isu sahsiah yang diperkatakan oleh masyarakat tentang sahsiah seseorang yang bergelar guru. Guru telah diberi amanat yang besar untuk mendidik anak bangsa, membentuk mereka menjadi insan yang berketrampilan, sihat dari segi jasmani, emosi, intelek dan rohani.

Kebanyakkan guru berjaya melaksanakan amanat yang diberi, justeru mereka berjaya mendidik pelajarnya menjadi pemimpin  yang disegani dan menabur bakti serta memberi sumbangan kepada negara. Oleh itu, sahsiah guru yang positif mempunyai pengaruh yang besar kepada pencapaian dan pembangunan diri pelajar dan kemajuan pendidikan di negara kita 

Berikut adalah ciri-ciri seorang guru yang memiliki sahsiah guru yang positif.

1. Seorang guru mempunyai nilai integriti yang tinggi

Dalam pembentukan sahsiah guru, nilai integriti amat penting dan setiap guru harus menanam nilai integriti ini di dalam diri dan jiwa masing-masing. Integriti bermaksud suatu kualiti yang dimiliki secara konsisten bagi mendorong prinsip moral tinggi atau tahap profesionalisma.Di dalam nilai integriti terkandung empat petunjuk iaitu amanah, akauntabiliti dan telus. 

Sebagai contoh, seorang guru perlu bersikap adil dalam pengajarannya di sekolah seperti guru tersebut mesti masuk ke dalam kelas pada tepat waktunya dan keluar kelas mengikut masa yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Sebagai seorang guru, kita tidak boleh mengamalkan sikap "pilih kasih" antara murid dengan memberi ilmu pengetahuan berdasarkan kepada tahap kepandaian, paras rupa, latar belakang keluarga murid dan sebagainya. Guru juga seharusnya turut bersika adil dalam memberi tugasan berdasarkan kemampuan pelajar dan hukuman yang sesuai sehingga tidak memudaratkan pelajar tersebut.

2. Seorang guru mempunyai nilai akauntabiliti 

Menurut kamus Dwibahasa menjelaskan bahawa akauntabiliti  bermaksud tanggungjawab yang haru difahami oleh setiap golongan guru dan melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan sempurna. Akauntabiliti ini juga bermaksud melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh pengetua mengikut masa yang telah ditetapkan. Sebagai contohnya, seseorang guru telah diberikan tanggungjawab untuk mengadakan suatu program yang perlu dijalankan selama sebulan, guru perlulah mengambil tanggungjawab tersebut dengan menyediakan kertas cadangan, merancang aktiviti bersama jawatankuasa yang dilantik, menjalankan mesyuarat bersama pengetua dan membuat perbincangan serta memastikan program yang telah dirancang dapat mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Jika sesuatu program tidak dapat dijalankan dengan sebaik-baiknya mengikut perancangan, guru tidak boleh menyalahkan pihak lain atas perkara yang berlaku, kerana setiap permasalahan yang melanda pasti ada sebab musababnya. Oleh yang demikian, seharusnya sebagai seorang guru perlu ada sikap akauntabiliti. Kerana setiap perkara yang berlaku pasti ada rahmat di sebaliknya. 

3. Guru mempunyai perasaan ikhlas dan berbudi bahasa dalam pengajaran

Guru hendaklah membimbing dan mengajar pelajar-pelajar di bilik darjah tanpa meminta sebarang bayaran atau hadiah daripada mereka, sebaliknya guru yang perlu memberi hadiah kepada pelajar-pelajar untuk menggalakkan mereka berminat terhadap proses pembelajaran. 

Memberi contoh teladan yang baik dengan berpakaian kemas, berbudi bahasa dan bersopan santun semasa bertugas harus juga diamalkan supaya murid memperolehi model yang baik. Ini adalah kerana seorang guru merupakan orang yang dihormati oleh pelajarnya, oleh yang demikian perlulah guru menjaga profesionalisme guru supaya mereka tidak dibenci,di pandang serong dan tidak dihormati lagi oleh anak muridnya.

Di sini saya menerangkan hanya tiga nilai-nilai untuk membentuk sahsiah guru yang positif. Terdapat banyak sahsiah positif yang boleh kita ambil untuk dijadikan sebagai contoh dan ditanamkan di dalam jiwa dan diri seseorang tidak kira sama ada bakal menjadi guru atau tidak pada suatu hari nanti.

Akhir sekali, harus diingatkan dan ditegaskan sekali lagi bahawa setiap perlakuan seharian kita sebagai seorang guru sentiasa menjadi tumpuan dan perhatian oleh setiap pelajar dan masyarakat. Selain itu, perlakuan kita juga ini boleh mempengaruhi setiap pelajar dimana mereka akan meniru segala perlakuan yang kita buat kerana mereka fikir segala perlakuan yang dilakukan oleh seorang guru adalah betul. Jadi, kita sebagai guru mestilah memperbetulan dan memperindahkan segala budi pekerti dan sikap morak kita sebelum memberi nasihat atau menegur pelajar supaya pelajar boleh menghormati dan mendengar segala teguran yang kita berikan dan pelajar boleh membuat guru mereka sebagai role model terbaik untuk diri mereka.

No comments: