Wednesday 16 April 2014

Perajurit Menjadi Guru



 

Assalamualaikum..


Sebagai seorang guru, seseorang itu haruslah pandai membawa diri dan menyesuaikan diri dengan pelbagai jenis keadaan dan situasi. Sebagai contoh penyesuaian diri yang biasa kita dengari, jika seorang pelajar cedera, seorang guru akan menjadi doktor, jika pelajar bergaduh, guru menjadi peguam, jika pelajar melakukan masalah disiplin, guru menjadi hakim, bila musim kemerdekaan bermula, guru menjadi pelukis mural. Selain itu, guru juga boleh menjadi tukang kebun, tukang kayu, tukang jahit dan sebagainya bergantung kepada situasi pada ketika itu.

        Pernah satu ketika, seorang guru menceritakan kepada saya bahawa terdapat sebuah sekolah yang sangat kekurangan dari segi fasiliti memandangkan sekolah ini berada di kawasan pedalaman, sangat jauh daripada kawasan bandar. Beberapa kumpulan pelajar menyatakan bahawa mereka sangat berminat untuk mewakili sekolah dalam sukan hoki. Tetapi malangnya kayu hoki yang dimiliki oleh sekolah itu hanya satu. Mana mungkin mereka mampu membentuk sebuah pasukan hoki.

      Tetapi, dengan kesungguhan seorang guru yang bijak dan kreatif, sekolah mereka muncul sebagai juara di peringkat negeri. Apa yang telah guru itu lakukan? Pasti ramai yang terntanya-tanya bagaimana mereka boleh menubuhkan pasukan hoki dengan hanya sebatang kayu hoki kan...

        Dengan kesungguhan dan kebijaksanaan, guru tersebut telah membuat sendiri kayu-kayu hoki yang diperlukan dengan menggunakan pelepah kelapa. Pelepah kelapa diraut dan dibentuk sehingga menjadi kayu hoki yang selamat untuk digunakan oleh pelajarnya. Kayu hoki yang sebenar, yang hanya satu itu tetap ditunjukkan kepada para pelajar supaya pelajar kenal akan kayu hoki yang sebenarnya. Selain itu para pelajar juga dibenarkan menggunakan kayu hoki yang sebenar secara bergilir-gilir antara mereka.

Apa kaitannya cerita nie dengan tajuk yang saya paparkan?



        Okey, kaitannya begini.. Sebentar tadi saya ada terbaca sebuah artikel yang menyatakan terdapat 29 kota di Papua yang mengalami masalah kekurangan tenaga pengajar di sekolah. Hal ini demikian berlaku kerana kurangnya kemudahan pengangkutan dan fasiliti di sekolah-sekolah tersebut lantas guru-guru menarik diri daripada menjadi seorang guru.

        Saya berasa sangat sedih membaca artikel tersebut sebagai seorang bakal guru. Bagaimana guru-guru sanggup membiarkan para pelajar mereka untuk terus dibelenggu kebodohan tanpa pendidikan di sekolah.

        Tetapi...., ratusan perajurit Tentera Nasional Indonesia (TNI) telah menjadi sukarelawan menjadi seorang guru yang mulia. Sugguh mulia para perajurit TNI kerana tidak terus membiarkan anak bangsa mereka terus dibelenggu kebodohan.

Untuk artikel penuh boleh klik sini

Tuesday 15 April 2014

Artikel isu semasa sahsiah guru

Assalamualaikum.. Bersama sama ini kami sertakan beberapa artikel yang membicarakan tentang sahsiah guru.

Tajuk :

Guru Sunyi Noda Pelajar

Oleh :
Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my

KUANTAN: Mungkin kerana kesunyian akibat berjauhan dengan isteri, seorang guru gagal mengawal nafsunya lalu merogol pelajarnya sendiri berusia 15 tahun selepas mempelawa mangsa datang ke rumahnya dengan alasan mengulang kaji pelajaran.

Kejadian berlaku di rumah guru berusia 33 tahun itu iaitu di kuarters sebuah sekolah menengah di Jerantut pada kira-kira jam 3.30 petang, Khamis lalu.

Menurut sumber, sebelum kejadian guru terbabit dikatakan menghubungi ibu mangsa dan mempelawa mangsa datang ke rumahnya dengan alasan mahu membantunya belajar dan tawaran itu diterima baik ibu mangsa tanpa sebarang prasangka.

Katanya, mangsa pergi ke rumah gurunya itu yang terletak tidak jauh dari rumahnya dengan ditemani rakan, namun rakannya terus pulang selepas menghantarnya.

“Pada mulanya guru itu mengajar mangsa tugasan sekolah, namun dipercayai gagal mengawal nafsunya dan terus memeluk mangsa dari belakang sebelum merogolnya.

sumber : www.hmetro.com.my

p/s : sama-samalah kita renungkan dan berfikir sejenak tentang peristiwa ini.

Teori-Teori Pembangunan Sahsiah - Ringkasan



Pendekatan Psikodinamik : Teori Psikoanalitik
Menurut teori ini, struktur utama personliti manusia ialah id, ego dan superego. Struktur personaliti id ialah yang didorong oleh tenaga untuk hidup serta berperinsipkan kenikmatan. Bagi struktur personaliti ego pula adalah diri yang sedar dan berperinsipkan realiti manakala superego adalah komponen sosial yang berperinsipkan moral. Secara ringkasnya, id merujuk kepada nafsu, ego merujuk kepada akal dan superego merujuk kepada nilai-nilai murni yang dianuti oleh individu. Kesemua struktur personaliti ini berkait antara satu sama lain dalam membentuk tingkah laku individu dan menurut Freud, kunci keperibadian yang sihat adalah keseimbangan antara id, ego, dan superego.

Pendekatan Pembelajaran : Teori Tingkah Laku
Selain itu, pendekatan sahsiah melalui teori tingkah laku pula dapat difahami melalui prinsip-prinsip dalam perlaziman klasik dan perlaziman  operan seperti generalisasi, diskriminasi, penghapusan, peneguhan positif, peneguhan negatif, hukuman positif, hukuman negatif dan galakan. Sebagai contoh, isu sahsiah guru yang sering lewat masuk ke kelas. Pelaziman klasik bagi guru tersebut ialah sering masuk lewat ke kelas dan mungkin berpunca daripada sikap guru tersebut sejak dari zaman persekolahannya lagi. Pelaziman klasik ialah tindak balas individu terhadap pesekitarannya. Seterusnya generalisasi guru tersebut terhadap kelewatannya adalah kerana beliau melihat guru-guru lain juga sering lewat masuk ke kelas, justeru beliau menganggap kelewatan itu satu kebiasaan di sekolah. Generalisasi ialah tingkah laku yang mendapat peneguhan dalam situasi lain yang lebih kurang sama. Diskriminasi pula ialah tingkah laku yang berbeza mengikut ransangan di mana guru tersebut memilih untuk masuk awal ke kelas-kelas tertentu contohnya kelas pelajar yang lebih pandai berbanding kelas-kelas lain yang diajar olehnya. Sikap guru tersebut ditegur oleh pengetua secara personal kerana aduan dari pelajar. Disini kita dapat lihat, penghapusan iaitu tingkah laku tersebut perlu dihentikan kerana tidak lagi menghasilkan konsekuen peneguhan. Apabila guru tersebut ditegur, beliau mula masuk awal ke kelas dan sebagai peneguhan positif, para pelajar berasa gembira dan lebih bersemangat untuk belajar. Bagi peneguhan negatif pula, ketua kelas menjemput guru tersebut untuk masuk ke kelas sekiranya guru tersebut lewat. Hal ini menyebabkan guru tersebut berasa tidak selesa. Peneguhan positif ialah pemberian ganjaran apabila melakukan sesuatu manakala peneguhan negatif pula ialah ransangan aversif dikeluarkan untuk mengubah tingkah laku individu. Hukuman positif ialah tingkah laku yang ditunjukkan diberi rangsangan aversif untuk dihentikan  misalnya guru tersebut ditegur oleh pengetua di dalam mesyuarat dihadapan guru-guru lain menyebabkan beliau berasa malu dan hukuman negatif pula ialah bersifat peneguhan untuk menghentikan tingkah laku tersebut misalnya pelajar tidak memberikan tumpuan semasa proses pembelajaran kerana guru yang sering lewat masuk ke kelas. Sebagai galakan, pengetua kerap membuat rondaan dan turut serta dalam proses pembelajaran secara rawak. Oleh itu, melalui prinsip-prinsip dalam teori tingkah laku dalam pembangunan sahsiah, personaliti individu dapat difahami.

Pendekatan Kognitif : Teori Pilihan Dan Terapi Realiti
Melalui teori ini, seseorang itu bermasalah apabila keinginan mereka tidak dapat dipenuhi. Setiap keinginan individu dipengaruhi oleh keperluan psikologi dan fisiologi iaitu rasa ingin disayangi dan menyayangi, penghargaan, kebebasan kegembiraan dan kelangsungan hidup. Menurut Ahmad Jazimin (2008), keseluruhan tingkah laku seseorang itu akan menyumbang kepada identiti dirinya sama ada identiti berjaya atau identiti gagal. Menurutnya lagi, personality gagal terbentuk apabila seseorang itu gagal memenuhi kehendaknya dengan cara yang bertanggungjawab. Seseorang yang mempunyai personaliti yang gagal biasanya kecewa dengan kehidupan dan sentiasa menafikan kegagalan yang mereka hadapi. Mereka akan memilih simptom negatif dan akhirnya mengalami tingkah laku yang tidak efektif. Seterusnya mereka akan melarikan diri daripada tanggungjawab setelah emosi dan pemikirannya terganggu.
Tegas Glasser (1998) dan Ahmad Jazimin (2011), berdasarkan teori pilihan manusia bertingkah laku berdasarkan faktor-faktor berikut iaitu yang pertama, kehendak kualiti (Quality World) dimana setiap individu mempunyai kehendak yang ingin dicapai atau diinginkan bedasarkan pengalamannya dengan orang lain, kepercayaan atau situasi yang dialami. Yang kedua,  keperluan asas atau basic needs pula ialah manusia mempunyai empat jenis keperluan psikologi iaitu menyayangi dan ingin dimiliki, inginkan penghargaan, kegembiraan dan kebebasan manakala satu keperluan fisiologi iaitu ingin terus hidup di dunia ini. Yang ketiga, tingkah laku keseluruhan (Total Behavior) iaitu kesemua perlakuan, pemikiran, perasaan dan fisiologi manusia adalah Total Behaviour dimana seseorang itu boleh mengawal perbuatannya tetapi tidak perasaannya. Yang keempat, identiti berjaya dan identiti gagal. Identiti berjaya ialah apabila seseorang mengalami rasa cinta dan rasa dihargai serta keperluan psikologikalnya dipenuhi manakala identiti gagal pula apabila seseorang itu tidak ada rasa dicintai, personaliti yang tidak seimbang, kurang keyakinan diri dan cepat berputus asa. Yang kelima, tanggungjawab individu dalam memilih keputusannya. Dan yang terakhir, perlakuan tidak efektif dan efektif. Contoh perlakuan efektif ialah sentiasa menyokong orang lain, mendapat galakan, memiliki kemahiran mendengar yang tinggi dan mudah menrima orang lain manakala contoh perlakuan yang tidak efektif ialah selalu mengkritik, selalu menuduh orang lain tanpa bukti yang kukuh, sentiasa tidak berpuas hati, rasa terancam dan terlalu mengawal orang lain. Berdasarkan teori ini, manusia mempunyai hak untuk bertingkah laku seperti yang dinginkan sama ada tingkah laku tersebut menyumbang kepada identiti berjaya atau identiti gagal.

Pendekatan Humanistic :  Teori Pemusatan Insan
Melalui teori ini, ianya terbahagi kepada tiga konsep utama iaitu fenomenologi, organisma dan kendiri. Konsep yang pertama ialah fenomenologi. Fenomenologi ialah keseluruhan pengalaman yang dirasai dan dipersepsikan oleh seseorang. Roger begitu prihatin terhadap bidang fenomenologi kerana ia merupakan rangka rujuk frame of reference bagi seseorang individu. Menurutnya lagi, bidang fenomenologi ini hanya dapat diketahui sepenuhnya oleh individu itu sendiri dan tidak dapat diketahui oleh orang lain kecuali melalui empathy inference tetapi ianya tidak akan pernah diketahui oleh individu lain secara keseluruhannya. Bidang fenomenologi terdiri daripada  pengalaman-pengalaman yang dilambangkan dan tidak dilambangkan. Pengalaman yang dilambangkan ialah pengalaman yang boleh disedari oleh individu manakala pengalaman yang tidak boleh dilambangkan ialah pengalaman yang tidak disedari oleh individu tersebut. Kebanyakkan pengalaman sedar dan tidak sedar ini dapat dijadikan sedar apabila perlu. Walaubagaimanapun, individu masih dapat membezakan kedua-dua jenis pengalaman tersebut dan beraksi terhadap pengalaman yang tidak dilambangkan. Menurut Rogers, persepsi individu yang subjektif amat penting dalam menentukan realiti dimana peristiwa yang berlaku tidak begitu mempengaruhi individu sebaliknya persepsinya terhadap peristiwa itu yang memberi kesan kepada dirinya. Hal ini membawa maksud, setiap peristiwa yang dilihat oleh manusia memberi pesepsi yang berbeza mengikut individu. Konsep yang kedua ialah organisma. Organisma merupakan seorang individu secara keseluruhan yang bertindak sebagai satu entiti yang menyeluruh bagi memenuhi keperluan-keperluan tertentu. Setiap organisma mempunyai satu motif untuk mencapai kesempurnaan kendiri dan membaiki dirinya. Organisma juga boleh melambangkan pengalaman-pengalamannya yang tertentu atau menyangkal dengan tidak melambangkannya malah mengabaikannya sama sekali. Konsep yang ketiga ialah kendiri. Kendiri merujuk kepada sebahagian dari latar fenomena yang perlahan-lahan menjadi terpisah. Ia adalah satu konsep keseluruhan persepsi yang tersusun dan konsisten yang mewakili ciri-ciri aku dan persepsi terhadap perhubungan di antara aku dengan orang lain dan pelbagai lagi aspek kehidupan, bersama-sama nilai yang tersemat dengan persepsi. Ia merupakan satu keseluruhan yang terdapat kesedaran atau satu Gestalt yang berubah-ubah tetapi khusus dalam jangka masa tertentu. Konsep kendiri yang berkaitan ialah kendiri idaman (ideal self) atau kendiri unggul ini merupakan konsep kendiri yang diingini oleh seseorang dimana ianya melibatkan persepsi serta makna yang mempunyai perkaitan dengan kendiri yang dihargai individu , orang yang signifikan dan masyarakat. Konklusinya, setiap organisma mempunyai fenomena yang tersendiri. Secara ringkasnya organisma dan fenomena membentuk kendiri individu. Rangka rujukan individu akan sentiasa berkembang sejajar dengan pembesaran individu malah individu yang sentiasa memperkasakan rangka rujukan mereka ke arah kesempurnaan kendiri (self-actualization).

Pendekatan Tret : Teori Personaliti Lima Utama
Melalui teori ini, ianya terbahagi kepada lima sifat ciri-ciri personaliti asas. Lima sifat tersebut ialah Keterbukaan, Kehematan, Ekstraversi, Kesetujuan dan Neurotisme atau diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai Openness, Conscientiousness, Extravertion, Agreeableness dan Neuroticicism yang terkenal dengan akronimnya sebagai OCEAN. Setiap sifat atau dimensi ini membawa maksud dan ciri-cirinya yang tersendiri. Ciri-ciri utama dimensi ini terbahagi kepada dua iaitu ciri tahap tinggi iaitu dan ciri tahap rendah. Dimensi Keterbukaan merujuk kepada tahap kesediaan seseorang untuk menerima pengalaman baru. Dimensi Kehematan pula merujuk kepada tahap keteraturan, ketekunan dan motivasi untuk mencapai sesuatu matlamat. Seterusnya, dimensi Ekstraversi menghuraikan tahap keselesaan seseorang dengan hubungan sosial manakala dimensi Kesetujuan pula merupakan tahap kecenderungan seseorang untuk akur dengan kehendak orang lain. Dan dimensi yang terakhir ialah dimensi Neurotisme atau lawannya kestabilan emosi menjelaskan tahap ketahanan seseorang dalam menangani tekanan (Costa & McCree 1992).

Monday 14 April 2014

Kepentingan Pembangunan Sahsiah

Assalamualaikum

Pembangunan bererti pertumbuhan atau perkembangan yang membawa perubahan dalam sesuatu transisi. Dalam konteks pembangunan sahsiah, pembangunan bermaksud perubahan-perubahan pembentukan dan pengekalan sahsiah diri yang dialami setiap individu di sepanjang kehidupannya sama ada secara perlahan-lahan atau mendadak. Terdapat banyak kepentingan pembangunan sahsiah yang nyata. Antaranya ialah:

1. Memerihal dan menghuraikan ciri keperibadian individu secara terperinci.
Mendalami seseorang secara lebih jelas dengan mengidentifikasikan setiap individu secara perseorangan sebenarnya bukan sahaja dapat mencerminkan kriteria peribadi yang dimiliki sebagaimana dipamerkan, akan tetapi turut mempamerkan ciri keperibadian secara terperinci (Schultz dan Schultz, 2009; Maltby et al., 2007; Coon, 2003; Heffner, 2002; Lahey, 2001; Habibah Elias dan Noran Fauziah, 1997; Mohd Salleh,
1995)

2. Mengetahui ciri atau atribut persamaan dan perbezaan antara individu
Ciri atau atribut sepunya yang sama-sama dimiliki oleh setiap individudapat diketahui dan diperjelaskan dengan memahami personaliti seseorang (Asmawati, 2004; Lahey, 2001; Habibah Elias dan Noran Fauziah, 1997).
Selain itu, terdapat unsur perbezaan dan persamaan dalam kalangan individu ini daripada aspek yang terkandung dalam personaliti (Derlega et al., 2004).

3. Proses pertumbuhan kendiri
Secara fitrahnya, Maltby et al. (2007) dan Ryckman (2004) menyatakan semua individu mengalami pertumbuhan kendiri. Setelah mengalami pertumbuhan fizikal, unsur psikologi iaitu personaliti atau sahsiah diri turut sama terlibat.

4. Menjangkakan dan meramal tingkah laku
Menurut Ryckman (2004), prasyarat dalam mendapatkan jangkaan yang tepat atau hampir tepat banyak bergantung kepada sejauh mana keupayaan individu dapat memberikan penjelasan yang sesuai dan mencukupi tentang sesuatu hasil yang bakal diperoleh. Jika seorang guru mampu menjangkakan gerak geri pelajarnya sewaktu pembelajaran berlangsung, maka penyesuaian tentang corak pengajaran yang berpadanan dengan jangkaan yang digunakan dapat menghasilkan prestasi pengajaran dan pembelajaran  yang lebih memberangsangkan. 

Ulasan Berkenaan Artikel Pelajar OKU Jadi Mangsa Penderaan Guru



sumber : http://www.abgteror.com/ekslusif-pelajar-oku-jadi-mangsa-terbaru-penderaan-guru-kepala-dihentak-ke-meja/


Artikel yang dipilih ialah berkaitan dengan kes seorang guru sekolah  mendera muridnya iaitu seorang pelajar cacat penglihatan, Wan Nur Dania Wan Rohaizit, 10 . Kejadian ini berlaku di  Sekolah kebangsaan Seksyen 20. Hal ini berlaku kerana pelajar terbabit gagal untuk menjawab soalan yang ditanya oleh guru berkenaan. Guru terbabit telah menghentak kepala Wan Nur Dania sebanyak empat kali, disamping mencubit dan memukul pelajar tersebut sehingga lebam. Guru tersebut memberikan alasan bahawa tindakannya itu adalah teknik pengajaran yang berkesan supaya pelajar cepat pandai.

Pada pandangan saya, perkara seperti ini amatlah tidak wajar untuk dilakukan oleh seorang insan yang bergelar guru. Malah alasan yang diberikan oleh guru tersebut tidak boleh diterima sama sekali. Walaupun pelajar tersebut tidak dapat menjawab soalan yang diberikan, tindakan sebegitu tidak sepatutnya berlaku dan lebih mengecewakan pelajar terserbut merupakan kanak-kanak istemewa. Saya berasa amat terkilan dengan tindakan guru tersebut yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Sebagai seorang guru, sepatutnya beliau memahami dan cuba membantu pelajar tersebut untuk menjawab soalan daripada menghukum pelajar tersebut.

Terdapat pelbagai teknik pengajaran yang berkesan untuk membantu murid semasa di dalam kelas. Tindakan menghukum yang melampau seperti itu bukanlah teknik pengajaran tetapi dianggap sebagai penderaan kepada pelajar. Sebagai seorang guru, guru berkenaan sepatutnya tahu teknik pengajaran yang betul untuk membantu pelajar dalam pelajaran supaya mereka lebih peka dan mahir dalam menjawab soalan.


Guru dianggap sebagai golongan profesional, justeru tindakan mereka seharusnya mempamerkan sifat profesinalisme yang tinggi supaya dapat menjadi contoh dan teladan kepada anak-anak murid. Menurut Abu Bakar Nordin (2003), peribadi dan sahsiah seorang guru akan menentukan kedudukannya di mata masyarakat. Oleh itu, para guru seharusnya menjaga nama baik profesion perguruan supaya tidak dipandang enteng oleh masyarakat kerana kes-kes seperti ini berlaku.


Sahsiah Negatif

TIDAK BERTANGGUNGJAWAB
Terdapat segelintir guru yang tidak bertanggungjawab dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan seperti mengendalikan sesuatu aktiviti di sekolah.
BERSIKAP TIDAK ADIL DAN PILIH KASIH
Guru hanya memberi tumpuan kepada pelajar yang pandai dan disukainya sahaja.
EMOSI TIDAK SEIMBANG DAN MUDAH MARAH
Guru tidak dapat mengawal emosi apabila menghadapi masalahdan melepaskan perasaan marahnya kepada pelajar.
MEMENTINGKAN DIRI SENDIRI 
Guru mengambil cuti sakit walaupun dalam keadaan sihat untuk urusan peribadi.
TIDAK MESRA MURID
Guru hanya tumpukan tugas kepada mengajar sahaja dan tidak mengambil tahu akan hal dan masalah yang dihadapi oleh pelajar.

Anak Didik vs Anak Kandung

Assalamualaikum..
Pertama sekali ingin saya ceritakan pengalaman saya ketika berada di sekolah suatu ketika dahulu.

        "Assalamualaikum w.b.t", cikgu Ramlah mula melangkah masuk ke kelas 3 Ilmu. 
Semua pelajar berdiri dan menjawab salam dengan penuh semangat. Kelas dimulakan seperti biasa.
        Selepas tiga tahun berada di dalam kelas tersebut, tiada seorang pun yang tahu bahawa salah seorang daripada pelajar kelas 3 Ilmu adalah anak kandung cikgu Ramlah.
        Cikgu Ramlah merupakan seorang guru bagi mata pelajaran sejarah bagi pelajar tingkatan satu, dua dan tiga. Sikap cikgu Ramlah yang adil tetapi tegas itu membuatkan semua pelajar berasa selesa ketika belajar di dalam kelasnya dan tiada siapa yang sangka bahawa salah seorang daripada pelajar kelas kami merupakan anak kandung cikgu Ramlah.
        "Ina, kau nak tahu sesuatu tak?" tanya Alia.
        "Apa dia?" jawab Ina. 
        "Rupa-rupanya salah seorang daripada pelajar kelas kita merupakan anak kandung cikgu Ramlah", beritahu Alia bersungguh-sungguh.
        "Siapa? Bagaimana kau tahu?" tanya Ina lagi.
        
Apa yang dapat kita lihat di sini ialah, cikgu Ramlah merupakan seorang guru yang sangat adil. Beliau mengajar kesemua anak didiknya secara sama rata tidak kiralah sama ada mereka adalah pelajar atau anak kandungnya. 

Jika kita lihat di dalam profesion perguruan pada masa kini, terlalu banyak amalan pilih kasih yang diamalkan oleh para guru. Seperti yang pernah berlaku, juga di sekolah saya, di mana seorang guru sentiasa menyebut-nyebut nama pelajar yang cantik sahaja untuk menjawab soalan-soalan yang diutarakan sehingga menimbulkan rasa iri hati pelajar-pelajar lain. bukti lain yang dapat kita lihat adalah berdasarkan sebuah artikel myMetro di slot kaunseling remaja. Hal ini demikian sepatutnya tidak berlaku. Seorang guru mestilah bersifat adil terhadap para pelajarnya walau dalam apa jua keadaan sekalipun.




Sunday 13 April 2014

Assalamualaikum

Pada dua hari lepas, saya telah menerangkan sedikit tentang sahsiah positif seorang guru. Apabila ada positif pasti ada negatif juga. Ada segelintir guru  yang telah meninggalkan impak yang negatif terhadap profesion perguruan melalui tindakan dan pemikirannya yang tidak selaras dengan harapan semua masyarakat dan negara. 

Arshad Khan (2001) yang memetik kata-kata Datuk Mahadzir  Mohd.Khir memberitahu bahawa dari tahun 1995 sehingga 2001, sebanyak 41 kes keruntuhan moral membabitkan guru telah dilaporkan.

Antara kes yang dilaporkan :

Kes khalwat (12)
Kes cabul (11)
Kes hubungan sulit dengan isteri atau pelajar (6)
Kes liwat atau perbuatan sumbang(4)
Kes berpoligami tanpa kebenaran (3)

kes persetubuhan haram (2)
Kes bersekedudukan (1)
Kes membawa pelajar perempuan tidur di luar asrama (1)
Kes membogel serta merotan pelajar perempuan (1)


Sunday 6 April 2014

Sahsiah Positif

Assalamualaikum

Sejak akhir-akhir ini, terdapat pelbagai isu sahsiah yang diperkatakan oleh masyarakat tentang sahsiah seseorang yang bergelar guru. Guru telah diberi amanat yang besar untuk mendidik anak bangsa, membentuk mereka menjadi insan yang berketrampilan, sihat dari segi jasmani, emosi, intelek dan rohani.

Kebanyakkan guru berjaya melaksanakan amanat yang diberi, justeru mereka berjaya mendidik pelajarnya menjadi pemimpin  yang disegani dan menabur bakti serta memberi sumbangan kepada negara. Oleh itu, sahsiah guru yang positif mempunyai pengaruh yang besar kepada pencapaian dan pembangunan diri pelajar dan kemajuan pendidikan di negara kita 

Berikut adalah ciri-ciri seorang guru yang memiliki sahsiah guru yang positif.

1. Seorang guru mempunyai nilai integriti yang tinggi

Dalam pembentukan sahsiah guru, nilai integriti amat penting dan setiap guru harus menanam nilai integriti ini di dalam diri dan jiwa masing-masing. Integriti bermaksud suatu kualiti yang dimiliki secara konsisten bagi mendorong prinsip moral tinggi atau tahap profesionalisma.Di dalam nilai integriti terkandung empat petunjuk iaitu amanah, akauntabiliti dan telus. 

Sebagai contoh, seorang guru perlu bersikap adil dalam pengajarannya di sekolah seperti guru tersebut mesti masuk ke dalam kelas pada tepat waktunya dan keluar kelas mengikut masa yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Sebagai seorang guru, kita tidak boleh mengamalkan sikap "pilih kasih" antara murid dengan memberi ilmu pengetahuan berdasarkan kepada tahap kepandaian, paras rupa, latar belakang keluarga murid dan sebagainya. Guru juga seharusnya turut bersika adil dalam memberi tugasan berdasarkan kemampuan pelajar dan hukuman yang sesuai sehingga tidak memudaratkan pelajar tersebut.

2. Seorang guru mempunyai nilai akauntabiliti 

Menurut kamus Dwibahasa menjelaskan bahawa akauntabiliti  bermaksud tanggungjawab yang haru difahami oleh setiap golongan guru dan melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan sempurna. Akauntabiliti ini juga bermaksud melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh pengetua mengikut masa yang telah ditetapkan. Sebagai contohnya, seseorang guru telah diberikan tanggungjawab untuk mengadakan suatu program yang perlu dijalankan selama sebulan, guru perlulah mengambil tanggungjawab tersebut dengan menyediakan kertas cadangan, merancang aktiviti bersama jawatankuasa yang dilantik, menjalankan mesyuarat bersama pengetua dan membuat perbincangan serta memastikan program yang telah dirancang dapat mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Jika sesuatu program tidak dapat dijalankan dengan sebaik-baiknya mengikut perancangan, guru tidak boleh menyalahkan pihak lain atas perkara yang berlaku, kerana setiap permasalahan yang melanda pasti ada sebab musababnya. Oleh yang demikian, seharusnya sebagai seorang guru perlu ada sikap akauntabiliti. Kerana setiap perkara yang berlaku pasti ada rahmat di sebaliknya. 

3. Guru mempunyai perasaan ikhlas dan berbudi bahasa dalam pengajaran

Guru hendaklah membimbing dan mengajar pelajar-pelajar di bilik darjah tanpa meminta sebarang bayaran atau hadiah daripada mereka, sebaliknya guru yang perlu memberi hadiah kepada pelajar-pelajar untuk menggalakkan mereka berminat terhadap proses pembelajaran. 

Memberi contoh teladan yang baik dengan berpakaian kemas, berbudi bahasa dan bersopan santun semasa bertugas harus juga diamalkan supaya murid memperolehi model yang baik. Ini adalah kerana seorang guru merupakan orang yang dihormati oleh pelajarnya, oleh yang demikian perlulah guru menjaga profesionalisme guru supaya mereka tidak dibenci,di pandang serong dan tidak dihormati lagi oleh anak muridnya.

Di sini saya menerangkan hanya tiga nilai-nilai untuk membentuk sahsiah guru yang positif. Terdapat banyak sahsiah positif yang boleh kita ambil untuk dijadikan sebagai contoh dan ditanamkan di dalam jiwa dan diri seseorang tidak kira sama ada bakal menjadi guru atau tidak pada suatu hari nanti.

Akhir sekali, harus diingatkan dan ditegaskan sekali lagi bahawa setiap perlakuan seharian kita sebagai seorang guru sentiasa menjadi tumpuan dan perhatian oleh setiap pelajar dan masyarakat. Selain itu, perlakuan kita juga ini boleh mempengaruhi setiap pelajar dimana mereka akan meniru segala perlakuan yang kita buat kerana mereka fikir segala perlakuan yang dilakukan oleh seorang guru adalah betul. Jadi, kita sebagai guru mestilah memperbetulan dan memperindahkan segala budi pekerti dan sikap morak kita sebelum memberi nasihat atau menegur pelajar supaya pelajar boleh menghormati dan mendengar segala teguran yang kita berikan dan pelajar boleh membuat guru mereka sebagai role model terbaik untuk diri mereka.

Profesion perguruan

Assalamualaikum

Apakah profesion perguruan ? 

Profesion seorang guru memainkan peranan yang penting  di dalam proses mendidik, pembangunan sahsiah dan penyerapan ilmu pengetahuan kepada pelajar. Dalam era globalisasi sekarang, peranan seorang guru menjadi semakin mencabar dan kompleks. Golongan guru hendaklah untuk meningkatkan martabat perguruan dari masa ke masa yang ke tahap lebih tinggi dan dihormati agar dapat merealisasikan Misi Nasional seperti yang digariskan Y.A.B Perdana Menteri Malaysia dalam Rancangan Malaysia Ke-9. Guru juga berperanan besar membentuk pelajar menjadi insan yang mempunyai nilai-nilai dan jati diri yang tinggi serta bermoral.

 Sahsiah guru .

Profesian perguruan amat mulia dipandang semua lapisan masyrakat. Selain itu, profesian seorang guru bukanlah profesian yang senang untuk seseorang memikul tanggungjawab yang berat kerana mereka harus memimpin dan mendidik pelajar-pelajar supaya menjadi insan yang berguna untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Walaubagaimanapun tidak dapat dinafikan bahawa seorang guru telah banyak menyumbang khidmat bakti dalam pembangunan bangsa dan negara terutama dalam pembentukan sahsiah pelajar. 


Isu sahsiah guru dapat dilihat daripada pengertian yang diberikan kepada dua perkataan utama iaitu isu dan sahsiah. 

Isu berasal daripada perkataan Bahasa Arab yang sinonim dengan persoalan, masalah, perkara, hal, pokok, perbincangan, tajuk perbualan dan topik. Menurut Kamus Dewan 2011, sahsiah  bermaksud keperibadian atau peribadi yang dimiliki oleh seseorang.

Oleh hal yang demikian, sebelum seorang guru membentuk sahsiah pelajar, guru tersebut mestilah mempunyai sahsiah diri yang baik dan boleh dicontohi serta menjadi model kepada pelajar-pelajar.  

Menurut Prof. Mohd Kamal Hasan (1998) menjelaskan

"Contoh teladan guru inilah yang banyak membantu pembentukan akhlak pelajar. Mereka seharusnya terlebih dahulu dilengkapi dengan ciri akhlak mulia, walaupun ada segelintir masyarakat kurang menghargai watak berbudi luhur ini."


Oleh itu, isu sahsiah guru yang positif merujuk perkara yang dilakukan oleh guru dapat dibanggakan dan meningkatkan profesion  yang sememangnya merupakan sesuatu yang dihasratkan oleh masyarakat dan negara. Sebagai contoh, guru yang berdedikasi dalam menjalankan kewajipannya memperlengkapkan pelajarnya dengan ilmu pengetahuan , kemahiran dan persediaan dari segi psikologi adalah guru yang menampilkan sahsiah diri yang positif.  Hasil daripada sahsiah guru yang positif akan memberi kesan yang baik kepada terhadap semua pelajar.